16.2% responden di KL akui keadaan kewangan merosot | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

16.2% responden di KL akui keadaan kewangan merosot

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Satu kaji selidik yang dijalankan UCSI Poll Research Centre berhubung indeks sentimen pengguna, baru-baru ini mendapati 16.2 peratus responden memberitahu aspek kewangan mereka menjadi semakin buruk sejak 12 bulan lalu.

Indeks itu juga menunjukkan hampir 100 peratus daripada 531 penduduk di Kuala Lumpur yang disoal berpendapat bahawa keadaan ekonomi semasa menjadi punca yang yang menghalang pertumbuhan ekonomi mereka.

Kaji selidik yang julung kalinya dijalankan di Malaysia itu menunjukkan bahawa 52.2 peratus responden mencatatkan pertumbuhan kewangan sifar sejak 12 bulan lalu.


Bagaimanapun, 31.6 peratus responden lagi berkata keadaan kewangan mereka kini lebih baik berbanding setahun yang lalu.

“Faktor yang terdapat dalam pendekatan kualitatif yang mempengaruhi sentimen negatif mereka berbeza-beza, dari kos hidup tinggi, pertumbuhan gaji rendah, ketidaksamaan pekerja mahir dalam pasaran buruh, kepada pengagihan pendapatan yang dianggap negatif,” kata Ketua Eksekutif Kaji Selidik itu Prof Madya Dr Noppadon Kanika kepada Bernama.

Ditanya mengenai jangkaan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang, 47.1 peratus responden merasakan keadaan kewangan mereka tidak akan berubah; 34.6 peratus pula menjangka keadaan akan menjadi lebih baik, dan 18.3 peratus lagi meramalkan keadaan akan bertambah buruk.

Dr Noppadon berkata majoriti responden menjangka para pelabur dan ahli perniagaan akan menikmati perkembangan yang positif di tahun akan datang.

Pendekatan kualitatif dan kuantitatif UCSI Poll Research Centre dijalankan antara 13 dan 22 Mei, melibatkan sampel 531 orang yang tinggal di Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next