NASIONAL

16 ditahan dipercayai terbabit sindiket penipuan telefon

SHAH ALAM, 8 MEI: Polis Selangor menahan 16 individu termasuk seorang yang dipercayai dalang sindiket penipuan telefon dalam serbuan berasingan di dua unit pangsapuri servis sekitar Serdang dan Kuala Lumpur dekat sini pada 29 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata, dalam serbuan pertama sekitar pukul 3.00 petang di satu unit pangsapuri servis di Taman Serdang Perdana itu, lima lelaki serta dua wanita warga tempatan ditahan.

Beliau berkata, siasatan mendapati enam daripadanya disyaki bekerja sebagai operator telefon bagi kegiatan penipuan sindiket itu manakala seorang lagi merupakan penjaga rumah berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat ke atas penjaga rumah berumur 31 tahun itu, lelaki berkenaan didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penipuan dan kesnya masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu memberitahu terdapat satu lagi unit pangsapuri servis menjalankan kegiatan penipuan telefon yang sama.

“Susulan maklumat berkenaan, serbuan kedua dilakukan di sebuah unit pangsapuri servis di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur pada hari yang sama. Dalam serbuan itu, tujuh lelaki dan dua wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki bekerja sebagai operator telefon kepada sindiket.

“Polis juga merampas sembilan unit telefon pintar, dua komputer riba, dua router dan 23 skrip panggilan telefon yang digunakan oleh sindiket untuk menyamar sebagai pegawai bank bagi menipu mangsa,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Fazlisyam berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan baharu berpindah di kedua-dua lokasi itu beberapa hari lepas semasa serbuan dilakukan dan pihaknya sedang menyiasat hubung kait antara kedua-duanya.

Katanya, kesemua mereka yang berumur antara 16 dan 31 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 424 Kanun Keseksaan, dan soal siasat ke atas suspek berumur 16 tahun itu mendapati gadis berkenaan tidak lagi bersekolah.

Tambah beliau, modus operandi sindiket penipuan itu untuk merekrut pekerja adalah dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai operator khidmat pelanggan bergaji sekitar RM2,500 hingga RM3,000 serta pelbagai kemudahan lain di laman sosial.

“Operator ini akan dilatih dengan skrip yang dibekalkan sindiket mengenai cara-cara untuk menipu mangsa menerusi telefon. Siasatan awal juga mendapati sindiket berkenaan terlibat dengan 11 kes penipuan di Selangor mencecah kerugian lebih RM900,000,” katanya.

Dalam pada itu, Fazlisyam berkata sejak Jan hingga 30 April lepas, 129 kertas siasatan dibuka berkaitan sindiket penipuan Macau Scam melibatkan jumlah kerugian RM7.5 juta yang mana kebanyakan mangsa terdiri daripada dalam kalangan pekerja sektor swasta berumur lingkungan 51 tahun ke atas.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah panik dan terpengaruh jika menerima panggilan daripada agensi tertentu yang meminta supaya memindahkan wang ke akaun lain kerana ia bukanlah tatacara kerja sebenar yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :