BERITA UTAMANASIONAL

27 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Sebanyak 27 jenis barang disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena Hari Raya Aidilfitri 2019.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SHMMP dilaksana bermula hari ini sehingga 19 Jun.

“Tempoh kuat kuasa skim ini selama 30 hari…15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas hari perayaan berbanding 15 hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Terdapat perubahan barangan dalam SHMMP berbanding tahun lepas melibatkan ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering dimasukkan pada pelaksanaan skim tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata peniaga turut diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

Beliau berkata tindakan tegas termasuk denda dan tindakan mahkamah akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu.

“Dalam usaha untuk melindungi pengguna, kementerian turut meningkatkan keberadaan pegawai penguatkuasa di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai melalui tindakan ‘omnipresence’.

“Ini bertujuan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguatkuasa,” katanya.

Selain itu, KPDNHEP turut memperkukuh pemantauan harga dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu pegawai pemantau harga, Friends Of KPDNHEP dan kerajaan negeri serta agensi kerajaan termasuk penglibatan penghulu dalam usaha pemantauan dan penyaluran maklumat kenaikan harga barang, katanya.

Beliau berkata kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

“Pengguna boleh salurkan sebarang aduan melalui portal [email protected], WhatsApp ke 0192794317, talian pusat panggilan 1800 886 800, dan aplikasi telefon pintar Ez ADU jika terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim ini,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :