NASIONAL

270,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 8 bulan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Sebanyak 270,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan dalam tempoh hanya lapan bulan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) memerintah, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah berkenaan melebihi sasaran awal kerajaan yang menganggarkan hanya dapat mewujudkan sekitar 240,000 peluang pekerjaan dalam tempoh setahun.

“Ini berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sasaran itu dicapai bagi tempoh Julai 2018 sehingga Februari 2019,” katanya pada sesi soal jawab lisan, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Sabani Mat yang mahu tahu tindakan diambil kerajaan bagi merealisasikan manifesto PAKATAN dalam mewujudkan satu juta peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata cabaran kerajaan hari ini bukan hanya daripada segi mencapai kuantiti yang disasarkan tetapi mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berkemahiran yang boleh menawarkan gaji lebih tinggi.

“Ini yang harus kita lihat, kalau tidak nanti peluang pekerjaan itu akan diisi oleh rakyat asing. Sebab itu kerajaan sentiasa membuat galakan ke arah penghasilan ‘high value job’ ataupun ‘knowledge workers’ yang bertepatan dengan kelayakan kemahiran,” katanya.

Mahfuz berkata kerajaan juga yakin sasaran satu juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan dicapai melihat kepada prestasi semasa.

Beliau berkata kerajaan turut mengalakkan majikan menyerap perkerja latihan industri di organisasi masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :