SELANGOR

30 wanita DUN Permatang sertai bengkel buat kek

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI: Seramai 30 wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menyertai Bengkel Belajar Buat Kek anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN itu, di Balairaya MPKK Kampung Permatang, di sini hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, program itu terbuka kepada suri rumah di kawasan Permatang untuk mengisi masa terluang dengan menceburkan diri dalam pembuatan kek.

“Program ini amat bersesuaian bagi memenuhi masa terluang suri rumah terutama pada Ramadan untuk menambah pengetahuan berkaitan pembuatan kek.

“Selain itu, wanita atau suri rumah ini boleh menjana pendapatan dengan mengambil tempahan bersempena Aidilfitri yang bakal menjelma,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Rozana berkata, beliau menyokong program sebegini dilaksanakan kerana ia mampu menjadikan suri rumah lebih yakin melangkah ke hadapan.

Beliau turut komited menerapkan elemen “Gift To Empowerment” kepada wanita di DUN Permatang, selain memberi keyakinan ia juga mampu menjadikan mereka lebih berdikari.

Dalam program itu, suri rumah terbabit diajar membuat tiga jenis kek iaitu kek lobak, kek coklat moist dan kek koko.

 


Pengarang :