NASIONAL

PDRM tahan 11 suspek seludup migran, palsukan dokumen perjalanan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan migran dan pemalsuan dokumen perjalanan Malaysia membabitkan warga Sri Lanka selepas menahan 11 suspek sejak operasi dilancarkan hujung bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, operasi berkenaan dilancarkan pada 30 April lalu dengan menahan seorang wanita warga Sri Lanka dan seorang warga tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan ketika cuba berlepas ke Eropah dengan menggunakan pasport Malaysia yang telah dipalsukan.

“Empat lagi suspek yang terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang warga Jerman, ditahan di sekitar ibu negara kerana turut terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu menurutnya, PDRM menahan lima lagi suspek yang terdiri daripada dua warga tempatan dan tiga warga Sri Lanka di sekitar Selayang pada 2 Mei lepas.

“Daripada keseluruhan 11 suspek ditahan, lima daripadanya disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 manakala enam lagi migran Sri Lanka selebihnya dituduh di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba menyeludup keluar ke Eropah melalui KLIA,” katanya.

Abdul Hamid berkata dengan kesemua penahanan itu, PDRM telah melumpuhkan sindiket migran yang licik yang beroperasi sejak pertengahan 2018 serta mempunyai rangkaian hubungan antarabangsa merentasi Sri Lanka, Eropah dan Malaysia.

Beliau berkata usaha mengesan dan membanteras rangkaian penyeludupan migran akan terus dipertingkatkan PDRM demi memastikan kegiatan penyeludupan migran dibanteras sepenuhnya.

-BERNAMA


Pengarang :