PBTSELANGOR

35 kakitangan MDHS terima APC

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 4 MEI: Seramai 35 kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menerima penghargaan menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 di Setia Eco Templer’s, di sini, malam tadi.

Yang DiPertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, penerima dipilih melalui tapisan dan kriteria ditetapkan Panel Pembangunan Sumber Manusia MDHS dan perakuan Pengarah Jabatan serta Ketua Bahagian masing-masing.

Katanya, beliau optimis menerusi pengiktirafan dan penghargaan seumpama itu menjadi pendorong serta penyuntik semangat kepada semua kakitangan untuk terus berkhidmat dengan lebih berkualiti sekali gus menjadi mentor kepada rakan lain.

“Ramai dalam kalangan kakitangan MDHS cemerlang namun untuk menerima anugerah sebegini ia harus menjadi lebih kreatif daripada itu.

“Tahniah diucapkan kepada penerima namun jangan sesekali pernah selesa dengan kejayaan ini sebaliknya terus tingkatkan mutu prestasi dan menceburkan diri secara meluas dalam luar bidang kerja kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Anugerah APC 2018 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor.

Turut diadakan Gimik Pelancaran Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Pada masa sama, Shukri berkata, beliau menyeru kepada kakitangan untuk sentiasa bersikap sayangkan MDHS, seronok bekerja, bertanggungjawab dan berintegriti.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam di Selangor, kita hendaklah terus berusaha gigih dan saling membantu dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam selain menonjolkan daya kepimpinan,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :