SELANGOR

50 peratus cukai pelancongan salur kepada negeri, MB sambut baik keputusan PM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 MEI : Kerajaan Selangor menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung pemberian 50 peratus kutipan cukai pelancongan akan disalurkan kepada Kerajaan Negeri masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Kerajaan Negeri menggerakkan usaha menyelenggara, meningkatkan kualiti infrastruktur serta mempromosikan lokasi pelancongan di setiap negeri.

“Saya menyambut baik keputusan ini kerana ia selaras dengan usaha Kerajaan Selangor untuk meningkatkan industri pelancongan.

“Ia juga membantu dalam kepelbagaian ekonomi yang telah saya cadangkan dalam belanjawan yang lalu melalui Gugusan Ekonomi Selangor, khususnya Gugusan Eko-Pelancongan yang melibatkan daerah-daerah seperti Kuala Selangor, Klang dan Sabak Bernam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, langkah Kerajaan Persekutuan untuk menghapuskan hutang projek bekalan air luar bandar bagi semua negeri berjumlah RM3.8 bilion juga dilihat mempercepatkan penstrukturan semula air bagi negeri-negeri.

Katanya, ia melibatkan projek-projek yang bermula pada tahun 2001.

“Langkah ini sudah pasti dapat mengurangkan beban kewangan tahunan negeri serta memastikan rakyat dapat menikmati faedah berterusan bagi jangka masa yang lama.

“Kerajaan Selangor menyambut baik semangat federalisme yang utuh di dalam Malaysia Baharu ini demi kepentingan dan manfaat kepada rakyat,” katanya.

 


Pengarang :