KUALA LUMPUR, 22 Mei — Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada sebahagian penerima di Masjid Jamek Al Amaniah, Batu Caves hari ini. Seramai 500 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang terdiri daripada warga emas, asnaf dan golongan pendapatan B40 menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri dari Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMASELANGOR

500 penduduk DUN Sungai Tua terima sumbangan Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 22 MEI: Kira-kira 500 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima sumbangan berjumlah RM250,000, sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Sumbangan itu diserahkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, di sini hari ini.

Amirudin ketika ditemui media berkata, program itu adalah tradisi Parlimen Gombak bagi menyantuni penduduk di kawasan itu, terutama menjelang Aidilfitri.

“Sejak 2008, saya dan Dato’ Seri Mohamed Azmin serta YB (Yang Berhormat) Saari Sungib akan menyampaikan sumbangan ini di DUN masing-masing.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang memerlukan untuk mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang akan tiba awal Jun nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sumbangan Eidul Fitr Parlimen Gombak di sini.

Pada masa sama, katanya, sumbangan itu juga antara program tambahan daripada Jom Shopping yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, sejak 2008.

“Ini juga antara program tambahan Jom Shopping, malahan dengan sumbangan sebegini ia dapat membantu penerima membeli barangan dapur atau membuat persediaan Aidilfitri,” katanya.

Pada program itu, penerima yang terdiri daripada warga emas, asnaf dan golongan pendapatan B40 menerima sumbangan dari Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), masing-masing berjumlah RM500.


Pengarang :