SELANGOR

55 anak yatim dan asnaf terima sumbangan SACC Convec

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 9 MEI: Seramai 55 anak yatim dan asnaf daripada Pengajian Darul Mahabbah serta Pusat Jagaan Anak Yatim Puncak Desa Kepong menerima sumbangan duit raya dan hadiah daripada SACC Convec, semalam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec, Nasrudin Abu Bakar berkata, sumbangan itu adalah inisiatif pihaknya dan ADABI consumers Industries Sdn Bhd bagi meraikan golongan kurang bernasib baik.

“Saya mengambil peluang di bulan mulia ini bagi meneruskan amalan kemasyarakatan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada mereka di bulan mulia ini.

“Program ini saya nantikan setiap tahun kerana ia memberi peluang kepada saya bagi manambah pahala dan membawa keinsafan kepada diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa SACC Convec bersama anak yatim dan asnaf di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SACC Convec, Siti Zubaidah Abdul Jabar dan penyanyi lagenda Nash bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Pada masa sama, Nasrudin berkata, program itu direncanakan khusus bagi meraikan anak yatim dan asnaf, di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama kumpulan pekerja selaras dengan syiar Ramadan, pada tahun ini.

 


Pengarang :