KUALA LUMPUR, 21 Mei — Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Jakel Trading Sdn Bhd Sarinah Mohd Kasiran beramah mesra sambil menyampaikan sumbangan duit raya dari meja ke meja kepada para asnaf pada Majlis Iftar Jakel dan Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama Asnaf di sebuah hotel di Kampung Baru hari ini. Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusof dan Ketua Pegawai Kewangan Jakel Trading Sdn Bhd Abdul Rashid Abdul Rahman. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

60 asnaf terima sumbangan sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Seramai 60 golongan asnaf hari ini diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Jakel Trading Sdn Bhd.

Pada majlis itu, mereka yang terdiri daripada 20 pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), 20 anak-anak OKU dan 20 keluarga asnaf turut menerima sumbangan baju raya dan bantuan wang tunai sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Ahmad Shukri Yusoff berkata golongan kurang berkemampuan yang menerima sumbangan itu adalah daripada senarai asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan MAIWP.

“Ia merupakan sebahagian daripada hasil wang pengembalian semula wang zakat (skim wakalah) bagi bayaran zakat perniagaan yang telah di bayar di MAIWP, jadi kita akan mencari asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan.

“Kita turut menjemput syarikat perniagaan lain untuk membayar zakat di PPZ-MAIWP dan menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini, saya berharap kerjasama ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Iftar PPZ-MAIWP dan Jakel Trading Sdn Bhd bersama asnaf di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Jakel Trading Sdn Bhd Abdul Rashid Abdul Rahman berkata program ini merupakan program CSR yang difokuskan sepanjang tahun.

“Kita libatkan pihak PPZ-MAIWP untuk memberi data bagi memberi bantuan pada golongan kurang berkemampuan. Kita dapati memang ada yang perlu dibantu hingga ke akhir hayat mereka, jadi saya harap kerjasama dengan PPZ-MAIWP ini dapat membantu mereka,” katanya.

Majlis itu merupakan sebahagian daripada projek CSR PPZ-MAIWP dan Jakel Trading Sdn Bhd sebagai tanda keprihatinan selain untuk mengeratkan ukhuwah.

-BERNAMA


Pengarang :