Selangorkini
SELANGOR

600 penduduk raih manfaat Jom Shopping Perayaan

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 20 MEI: Seramai 600 penerima baucar bantuan Jom Shopping Perayaan (JSP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya diraikan di Pasaraya Giant Spectrum, Bandar Baru Ampang, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negerinya, Haniza Talha berkata, setiap daripada mereka menerima kadar insentif sumbangan baucar bernilai RM100.

Katanya, ia adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan di bawah RM1,500 membeli barangan persiapan Aidilfitri.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima manfaat supaya dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Pada awal Jun ini juga, kita akan mengadakan jualan barangan basah pada harga yang rendah khas untuk penduduk Ampang yang saya akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau berkesempatan turun padang menemani penerima baucar membeli barangan keperluan selain beramah mesra bersama pengunjung pasaraya terbabit.

Haniza yang juga EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar memaklumkan, penerima manfaat berkenaan berbaris seawal 9 pagi bagi mendapatkan baucar membeli belah itu.

“Antara barangan yang dibeli adalah minyak masak, beras, tepung, gula, dan ketupat mini. Malah, ada juga di antara penerima yang membeli pakaian untuk digayakan pada pagi raya nanti.

“Inisiatif ini turut diadakan pada setiap musim perayaan yang lain, seperti Tahun Baru Cina dan juga hari Deepavali,” katanya.


Pengarang :