SELANGOR

750 penduduk Selat Klang terima baucer Jom Shopping Raya

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 22 MEI: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Kelang terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri menerusi program Jom Shopping Hari Raya.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, seramai 750 orang dipilih untuk menerima baucer RM100 yang adalah salah satu Insiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Baucer ini akan diserahkan secara berperingkat kepada golongan sasar terpilih.

“Kita sampaikan baucer kepada 250 orang dan bakinya akan disampaikan hari seterusnya,” katanya pada majlis penyampaian di salah sebuah pasaraya, di sini, semalam.

Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Negeri Selat Klang berkata, usaha berterusan Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bantuan itu adalah keprihatinan terhadap rakyatnya.

“Malah, tahun ini Kerajaan Negeri menambah lagi penerima yang terdiri daripada warga emas di setiap DUN.

“Baik warga emas, golongan kurang berkemampuan turut menikmatinya,” katanya.

Terdahulu, inisiatif Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah di bawah RM1,500.

Program berkenaan adalah inisiatif jangka panjang Kerajaan Negeri memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat seluruh negeri.

Penyerahan bantuan berkenaan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor, mengikut perayaan masing-masing.

 


Pengarang :