SELANGOR

800 penjawat awam terima pek iftar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 29 MEI: Seramai 800 penjawat awam di sekitar Ampang menerima sumbangan pek makanan untuk berbuka puasa, semalam.

Sumbangan disampaikan EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Haniza Talha.

Beliau berkata, agensi kerajaan terbabit adalah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Ibu Pejabat Polis Trafik Ampang, Balai Bomba Ampang dan KDEB Waste Management.

“InsyaAllah program sebegini akan diteruskan di tahun-tahun hadapan dan akan mengekalkan tradisi ini kerana saya telah mulakan ketika menjadi ADN Taman Medan lagi.

“Pegawai-pegawai di pejabat daerah khususnya banyak memudahkan urusan pentadbiran saya di Pusat Khidmat Rakyat Lembah Jaya,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, satu program jualan barangan basah pada harga murah bakal dianjurkan pada 1 Jun ini bermula 8 pagi di hadapan Pusat Khidmat Rakyat DUN Lembah Jaya.

Katanya, antara barangan basah yang akan dijual adalah seperti ayam, ikan, sotong, udang dan telur.

“PKM DUN Lembah Jaya menyasarkan sebanyak 500 penduduk tempatan terdiri daripada golongan B40 yang bakal mendapat manfaat melalui program ini.

“Program ini sekali gus dapat memastikan penduduk Lembah Jaya mempunyai akses kepada diet yang lengkap pada harga murah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.


Pengarang :