KUALA LUMPUR, 4 Mei — Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika melihat ubat-ubatan bagi penyakit Talassemia yang dipamerkan selepas merasmikan Hari Talassemia Nasional 2019 di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kiri). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

8,042 individu dikesan hidap, bawa Talasemia

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Seramai 8,042 orang dikenal pasti menghidap penyakit dan pembawa talasemia dalam negara sehingga Disember tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia berdasarkan laporan ‘Malaysian Thalassaemia Report’ yang buat pertama kali diterbitkan, yang menunjukkan lebih 5,000 pesakit daripada jumlah itu dikesan berada pada tahap kritikal yang memerlukan rawatan berkala melalui pemindahan darah.

“Dalam konteks Malaysia, seorang dalam 20 warganegara kita adalah pembawa genetik talasemia. Nisbah itu agak tinggi dan serius… tetapi pada masa yang sama, kepanjangan hayat pesakit talasemia ada menunjukkan peningkatan.

“Ini adalah satu penunjuk yang positif, menunjukkan keberkesanan perubatan rawatan kita,” katanya pada sidang media Hari Talasemia Kebangsaan 2019 (National Thalassaemia Day 2019) di sini hari ini.

Katanya, peningkatan jangka hayat pesakit membuktikan bahawa rawatan serta teknologi terkini berhasil membantu pesakit menikmati jangka hayat yang lebih lama sehingga ke usia lebih 40 tahun.

Dr Dzulkefly berkata bagaimanapun kerajaan perlu membelanjakan RM3 juta bagi kos rawatan setiap pesakit sepanjang hayat mereka dan kos itu juga semakin meningkat.

Sehubungan itu katanya, bagi mengawal penyakit genetik itu daripada terus meningkat, rakyat seharusnya mengetahui status talasemia mereka dengan menjalani ujian saringan talasemia.

“Mahu atau tidak mahu…kita perlu imbas saringan, dan menggalakkan setiap pasangan tidak berkahwin sesama pembawa genetik talasemia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :