SELANGOR

86% kawasan terjejas bekalan air kembali pulih

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 10 MEI: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Wilayah Klang, sudah 86 peratus pulih setakat jam 6 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan itu membabitkan jumlah keseluruhan 65 kawasan yang terjejas dengan insiden berkaitan.

“Kami ingin menasihatkan pelanggan di kawasan yang pulih untuk menggunakan air dengan berhemat bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan bekalan ke semua kawasan.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan amat dihargai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, bantuan lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas secara berterusan hingga bekalan pulih sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd iaitu ahli Kumpulan Air Selangor akan terus mengemaskini status dari semasa ke semasa.

Terdahulu, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.

 


Pengarang :