NASIONAL

ABIM sasar bantu 6,000 keluarga tahun ini

PETALING JAYA, 18 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyasarkan untuk membantu 6,000 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf sempena program ‘Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB)’ tahun ini.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahimi berkata, program itu sudah dimulakan sejak 2006 lagi.

“Tahun ini ABIM mensasarkan untuk membantu 6,000 keluarga di seluruh negara sempena KSSB yang dimulakan sejak 2006.

“Secara keseluruhan KSSB pada tahun ini telah berjaya menyumbang kepada 5,812 penerima di seluruh negara,” katanya selepas program KSSB yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Eksekutif AIBIM, Ratna Sha’erah Kamaludin.

Mohamad Raimi berkata, pada hari ini sahaja, jumlah sumbangan daripada AIBIM kepada golongan miskin bandar di sini adalah sebanyak RM60,000 dan sumbangan sekampit beras dan juga barangan keperluan harian serta wang tunai juga disampaikan.

Seramai 200 buah keluarga daripada golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8 Kota Damansara hari ini menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian menerusi program amjuran ABIM itu.

Program dengan kerjasama Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) itu adalah usaha membantu meringankan beban golongan yang memerlukan untuk menjalani ibadah puasa dan melakukan persiapan Aidilfitri kelak.

Mohamad Raimi berkata, melalui program itu juga, pihaknya menziarahi beberapa rumah keluarga asnaf terpilih di kawasan perumahan tersebut bagi mendekati golongan ini selain memberi sumbangan.

Sementara itu, seorang penerima yang merupakan peniaga nasi lemak, Jalur Hassan, 72 melahirkan rasa terharu atas sumbangan yang diberikan kerana ia dapat membantu meringankan bebannya sepanjang bulan Ramadan.

“Saya berterima kasih kepada ABIM dan AIBIM yang memberi sumbangan ini kerana keprihatinan mereka dan melalui pemberian ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan hidup kami yang serba kekurangan ini,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :