BERITA UTAMASELANGOR

ADN Batu Tiga lawat mangsa ribut

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 30 MEI: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail hari ini meluangkan masa melawat mangsa yang terjejas ekoran ribut di kawasan terbabit lewat petang semalam.

Katanya, insiden yang menjejaskan lebih 150 buah rumah itu membabitkan kawasan di sekitar Seksyen 17, 18 dan 24, Padang Jawa Klang dan Padang Jawa Petaling.

“Saya sudah mengeluarkan arahan supaya setiap mangsa terbabit membuat laporan kepada wakil yang ditetapkan.

“Sebenarnya, kita ada lagi masalah seperti pokok yang tumbang, khemah peniaga yang terbang dan bancian berkenaan sedang dikumpulkan,” katanya kepada Selangorkini selepas meninjau kawasan terjejas.

Lawatan itu turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Pengurusan Bencana Negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Angkatan Pertahanan Awam serta Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Pada masa sama, Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi turut memberikan sedikit sumbangan makanan sebagai bantuan permulaan.

“Kita akan berikan bantuan kepada mangsa ini daripada sudut kewangan dalam masa terdekat memandangkan Syawal hampir tiba.

“Kalau boleh, saya ingin selesaikan masalah ini secepat mungkin tetapi saya harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan pantas dan kecekapan agensi yang bertindak bagi membantu mangsa terbabit.

 


Pengarang :