AGAMANASIONAL

Agihan Zakat Selangor hanya untuk orang Islam

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan pengagihan zakat di negeri itu adalah hanya untuk umat Islam sahaja dan bukan untuk disalurkan kepada agama lain.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan pihaknya adalah berdasarkan kepada hukum syarak meliputi lapan kategori asnaf seperti dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60.

“Kita ingin menegaskan bahawa agihan zakat di Selangor hanya kepada umat Islam dan menafikan ia akan disalurkan kepada agama lain.

“Ini bagi menepis kekeliruan masyarakat berkaitan pekeliling dalaman yang dikeluarkan organisasi ini berhubung penggunaan motto baharu ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ yang tular di media sosial dan WhatsApp serta menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat sejak semalam,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan semula selepas isu pekeliling wang zakat Selangor didakwa diberikan kepada mereka bukan beragama Islam kembali tular di laman sosial.

Abdul Basith menegaskan bahawa tahun ini pihaknya mengubah motto lama iaitu ‘Meneraju Perubahan’ kepada motto baru iaitu ‘Manfaat Zakat Untuk Semua’ yang membawa maksud sangat luas dengan menggambarkan ibadah zakat.

Katanya, walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial.

“Ini selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan.

“Sekiranya taraf kehidupan asnaf dipertingkatkan secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara serta kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, LZS tidak ada kaitan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak termasuk parti politik serta akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“LZS sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat di Negeri Selangor.

“Agihan dan kutipan zakat di negeri Selangor sentiasa mengikut hukum syarak dan ia dipantau rapi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya.


Pengarang :