Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
NASIONAL

Agong dikurnia anugerah FIH atas sumbangan terhadap hoki

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah dikurniakan dengan Anugerah Presiden, yang ulung, oleh Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Dr Narinder Dhruv Batra dalam satu majlis yang diadakan di Istana Negara pada Rabu.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan Seri Paduka dalam hoki di Malaysia dan antarabangsa.

Seri Paduka gembira dikurniakan penganugerahan itu daripada badan hoki antarabangsa berkenaan.

“Beta begitu terharu apabila FIH memilih Beta sebagai penerima pertama Anugerah Presiden FIH. Ketika pertama kali Beta menyertai hoki, Beta jatuh cinta terhadap sukan ini, dan ia menjadi pilihan Beta untuk membantu membangun dan memberi sokongan terhadap kemajuan hoki.

“Kebanyakan orang mengetahui bahawa Beta memang peminat sukan terutama dalam bidang pembangunan dan Beta gembira dapat menyumbang ke arah pertumbuhan hoki, secara global,” titah Seri Paduka dalam satu kenyataan oleh Istana Negara.

Seri Paduka, yang juga bekas Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), dipilih sebagai Lembaga Pengarah FIH dengan jumlah undi tertinggi pada 2012.

Seri Paduka telah banyak menyumbang terhadap pembangunan hoki di negara ini dan Asia, dengan tumpuan kepada pembangunan dan acara bagi remaja.

Seri Paduka juga penggarap dalam penubuhan Piala Sultan Johor, satu-satunya Kejohanan Jemputan Bawah 21 di dunia. – BERNAMA


Pengarang :