NASIONAL

Ahmad Dusuki guna modal politik longkang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MEI: Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani didakwa menggunakan modal politik longkang apabila cuba mempersoalkan pemimpin DAP yang meraikan umat Islam berbuka puasa.

Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan berkata, amalan yang dilakukan DAP itu septutnya digalakkan tetapi sebaliknya bukan dijadikan modal politik longkang.

“Kata Dusuki, ini ‘agenda’ DAP, orang nak raikan Ramadan dengan rakyat kawasan pun dia jadikan isu,” tulisnya di laman twitter, hari ini.

Kenyataan bekas calon DUN Kota Anggerik Shah Alam itu turut dibidas wakil rakyat DAP, Young Shefura Othman.

Adun Ketari itu berkata, walaupun menjadi ahli politik DAP beliau melakukan ibadah kerana ALLAH dan sama sekali bukan berlakon.

“Saya solat dan sujud pada Allah bukan lakonan ya ustaz, tapi kerana saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

“Hati tu tolong jangan hitam sangat,” tulisnya.

Terdahulu Ahmad Dusuki dalam kenyataan berkata, wakil-wakil rakyat DAP kini giat berlakon untuk mengelirukan umat Islam di negara ini.

Katanya, lakonan terbabit berjaya menambat “beberapa ketul hati” orang Islam di negara ini.

Beliau turut memuatnaik gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sedang menjamah makanan di percayai pada majlis berbuka puasa.


Pengarang :