NASIONAL

Ahmad Faizal CEO baharu SPAN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang baharu berkuat kuasa 27 Mei ini.

SPAN dalam kenyataan berkata, Ahmad Faizal, 49, sebelum ini menyandang pelbagai jawatan penting antaranya CEO di beberapa syarikat air iaitu SAJ Ranhill Sdn Bhd (operator air di Johor) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

“Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam urusan pentadbiran dan pengurusan perniagaan pernah bertugas di syarikat berkaitan kerajaan iaitu Prokhas Sdn Bhd serta sebuah institusi pelaburan iaitu Aseambankers Malaysia Bhd atau kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank Bhd.

“Beliau yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perakaunan dan pengurusan kewangan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari University of Assex, United Kingdom serta Said Business School, University of Oxford dalam bidang Pengurusan Lanjutan (Advanced Management),” katanya

Dalam kenyataan sama, SPAN berkata, dengan rekod prestasi Ahmad Faizal yang memberangsangkan di organisasi sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan SPAN yakin beliau mampu memacu transformasi dalam industri perkhidmatan air serta pembetungan negara ini melalui perancangan strategik selain penguatkuasaan Akta 654 juga Akta 655 secara lebih tuntas.

“Pelantikan Ahmad Faizal menamatkan teka-teki sebelum ini setelah jawatan terbabit tidak diisi sejak Mac lalu setelah CEO sebelum ini iaitu Datuk Mohd Ridhuan Ismail bersara pada 28 Februari lalu.

“Surat pelantikan sudah ditandatangani Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dengan terma kontrak selama dua tahun yang boleh diperbaharui atas budi bicara kementerian,” katanya.

Untuk rekod, Ahmad Faizal adalah individu ketiga dilantik menerajui SPAN selepas Datuk Teo Yen Hua (Mac 2007–Ogos 2014) dan Mohd Ridhuan (September 2014–Februari 2018).


Pengarang :