NASIONAL

AIBIM-ABIM kukuh kerjasama bantu miskin bandar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

CHERAS, 19 MEI: Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) komited meneruskan kolaborasi bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam usaha membantu dan menaiktaraf ekonomi masyarakat kurang berkemampuan, khususnya miskin bandar.

Pemangku Pengarah Eksekutifnya, Ratna Sha’erah Kamaludin berkata, pihaknya akan berbincang lebih mendalam bagi membolehkan institusi kewangan Islam seperti mereka bukan sahaja diletakkan sebagai pemberi sumbangan kewangan, malahan mampu memacu kemajuan terhadap golongan terbabit.

“Perbankan Islam di Malaysia berkembang pesat dan sudah menjadi tangungjawab sosial korporat (CSR) bagi kami untuk memberi sumbangan serta meringankan segala beban ditanggung pihak kurang berkemampuan.

“Institusi perbankan Islam selama ini bersama rakyat, cuma kali ini kami mahu membuat lebih lagi supaya rakyat sedar kepentingan kewangan Islam di Malaysia. Jadi ini adalah salah satu cara kami untuk mendekati golongan ini dengan memberi balik kepada mereka,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 270 keluarga terdiri daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan sekampit beras, barangan keperluan termasuk wang tunai.

Pada masa sama, Ratna berkata, pihaknya berjaya mengutip lebih RM280,000 sumbangan yang diagihkan di empat kawasan meliputi daerah Rembau, Negeri Sembilan termasuk PPR Seksyen 8 Kota Damansara, PPR Desa Mentari serta PPR Taman Mulia.

Katanya, lebih 800 keluarga asnaf disasarkan layak mendapat sumbangan berbentuk sekampit beras.

“Setiap tahun kami menerima peningkatan daripada segi sumbangan iaitu bermula 2017 hanya mampu mengutip RM93,000, manakala 2018 hampir RM250,000 dan tahun ini meningkat kepada RM280,000.

“Kami memang meletakkan keutamaan kepada golongan asnaf yang diaturkan oleh ABIM sendiri untuk memilih keluarga yang layak menerima melalui pengurusan surau di kawasan berkenaan,” katanya.


Pengarang :