Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kelihatan ceria ketika berkenan berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MKP) Satu berhadapan Masjid Sultan Ahmad pada 15 Mei 2019. Foto BERNAMA
NASIONAL

Air katira, sata pilihan juadah iftar Agong, Permaisuri

KUANTAN, 15 MEI: Air katira, sata, puding raja, murtabak dan pulut panggang antara juadah yang dibeli Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bazar Ramadan Mahkota Square di sini, hari ini.

Baginda yang berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang MPK di sini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di bazar itu pada 6.50 petang.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berkenan ‘meronda’ bazar Mahkota Square selama hampir 15 minit untuk membeli juadah berbuka selain bertanya khabar peniaga dan pengunjung bazar, yang semuanya kelihatan teruja melihat kelibat baginda berdua.

Baginda berdua kemudiannya berkenan berbuka puasa di padang MPK 1 yang terletak bersebelahan bazar itu, yang merupakan tradisi tahunan pasangan diraja itu sejak dahulu pada setiap kali bulan Ramadan.

Sementara itu, peniaga sata Safiuddin Omar, 27, dari Kota Bharu, Kelantan mengakui agak terkejut apabila Al-Sultan Abdullah berkenan membeli sata dan pulut panggang jualannya, kerana kedudukan gerainya yang berada di barisan akhir.

“Tergamam juga apabila tuanku berada di depan kerana ini kali pertama saya menerima pelanggan diraja walaupun sudah tiga tahun berniaga di sini. Mungkin rezeki saya hari ini, tuanku berkenan membeli kerana sebelum ini saya hanya mendengar rakan-rakan peniaga dapat bertemu tuanku.

“Lebih seronok kerana mengetahui sata yang merupakan resepi keluarga saya menjadi sebahagian daripada juadah berbuka tuanku berdua untuk hari ini,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan itu selama lima tahun.

Peniaga air, Khairul Afendi Mohamed, 31, berkata Al-Sultan Abdullah berkenan membeli air katira, air kelapa, teh susu dan jus durian belanda di gerainya.

“Baginda juga ramah… sempat bertanya khabar dan ingin tahu bagaimana perniagaan pada kali ini sementara menanti saya membungkus air. Agak gemuruh juga tapi saya pura-pura tenang sahaja,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :