NASIONAL

Aksem tingkat kawalan 10 kawasan panas aktiviti penyeludupan mercun

BUKIT KAYU HITAM, 27 Mei: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) telah meningkatkan kawalan di 10 kawasan ‘panas’ di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api menjelang Aidilfiri ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, antara kawasan tumpuan ialah di sempadan Wang Kelian serta Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam di Kedah, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur di Kelantan.

Katanya, 600 anggota telah ditempatkan di kawasan tersebut yang turut menumpukan penyeludupan barang larangan lain yang tidak dibenarkan memasuki negara ini.

“Mereka akan berkawal selama 24 jam bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi, malah di Kedah terdapat 150 anggota sedang mengawal di pintu masuk Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Padang Terap.

Kita juga lebih kerap mengadakan operasi bersepadu dengan agensi yang mengawal sempadan yang dilihat berkesan mengekang aktiviti penyeludupan sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Aksem Kedah di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, bagi tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 63 kes penyeludupan dicatatkan, menurun berbanding 124 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Katanya, aktiviti penyeludupan juga kini dikesan banyak menggunakan laluan air susulan kawalan ketat di jalan-jalan darat.

“Selalunya Ramadan ini penyeludup banyak menggunakan jalan darat untuk membawa masuk mercun dan bunga api kerana mendapat sambutan hangat, tetapi kali ini kita hanya ada satu kes minggu lalu di kawasan bebas cukai Bukit Kayu Hitam dengan nilai melebihi RM5,000 dan ini satu kejayaan buat pasukan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :