SUKANKINI

Alex Yoong: Perlu lebih banyak litar lumba di negara ini

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Malaysia memerlukan lebih banyak litar lumba seperti di Sepang jika ingin menganjurkan kembali perlumbaan Formula Satu (F1), kata bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong.

Beliau berkata, ianya kerana terdapat beberapa litar lumba berhampiran dengan negara kita antaranya Marina Bay Street Circuit, Singapura dan Suzuka Circuit, Jepun yang digunakan sebagai litar perlumbaan Formula Satu.

“Sebab itulah kita memerlukan lebih dari satu litar jika perlumbaan F1 ingin dikembalikan,” katanya

Pada masa sama, Alex berkata, peminat baharu F1 hanya meminati pemandunya sahaja berbanding peminat terdahulu yang bukan hanya sekadar meminati pelumba malah perlumbaan itu sendiri.

“Mereka tidak kisah jika ianya membosankan atau menarik dan peminat ini yang akan mengembalikan sukan permotoran F1 berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Pelancaran eRacing Grand Prix yang berlangsung di Pusat Membeli Belah Sunway Velocity, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong bagi menyempurnakan majlis pelancaran program berkenaan.

Terdahulu, di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menamatkan penganjuran F1 kerana ia dikatakan tidak menguntungkan berikutan sambutan kurang memberangsangkan dan tidak mampu menampung kos penyelenggaraan yang tinggi.

Bagaimanapun, kerajaan baharu Pakatan Harapan diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan mengembalikan semula perlumbaan terbabit yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lalu.


Pengarang :