SELANGOR

Aliran baharu trafik Bandar Puteri 1 atasi kesesakan

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 11 MEI: Aliran baharu trafik di Pusat Komersial Bandar Puteri 1 yang bakal dilancar Isnin ini dijangka mampu merungkai isu kesesakan sekali gus memberi manfaat kepada lebih 160,000 pengunjung.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, sebelum ini pusat komersial yang dipenuhi dengan perbankan tempatan dan antarabangsa itu dikunjungi ribuan pelanggan setiap hari.

“Di sinilah kawasan perbankan paling besar dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya dan ia sentiasa sesak bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada setiap hari bekerja, dan disebabkan itu ada penduduk yang runsing kerana berhadapan kesesakan hampir setiap hari.

“Saya berharap dengan aliran trafik yang lebih baik ini membuatkan penduduk serta pengunjung pusat komersial Bandar Puteri 1 akan lebih selesa,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika lawatan tapak dan pengumuman laluan trafik baru, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis MPSJ, George Yap, Pengurus Besar IOI Properties, Chung Nyuk Kiong dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Puteri 8, Datuk Samson David Maman.

Melalui aliran trafik baru itu, lorong dari Jalan Puteri 1/1 akan ditambah bagi membolehkan pengguna masuk ke Jalan Puteri 1/4.

Sementara itu, aliran trafik Jalan Puteri 1/4 dan 1/3 akan berubah kepada laluan sehala.

Mengulas lanjut Sze Han berkata, masalah kesesakan itu berlaku sejak 10 tahun lalu dan semakin meruncing lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, hasil perbincangan bersama penduduk dan juga pemaju membolehkan aliran trafik baru diwujudkan.

“Saya juga ingin memberi peringatan kepada pengguna jalan raya di sini supaya tidak meletakkan kenderaan secara bertindih, ia bagi mengelakkan kereta anda ditunda kerana mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

“Bagi memudahkan lagi orang ramai, kita akan meletakkan anggota RELA dalam tempoh seminggu ini,” katanya.


Pengarang :