SELANGOR

Allahyarham Anuar legenda ‘super-sub’ Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 MEI: Bekas pemain kebangsaaan, Dollah Salleh redha dengan pemergian Allahyarham Anuar Abu Bakar yang dikenali rapat sejak beraksi di Johor, walaupun masih terkilan kerana tidak sempat bertemu sebelum ini.

Tanpa berselindung, Jurulatih Pahang itu menyifatkan Anuar sebagai sahabat karib yang peramah dan kenangan bersama sepanjang menyelusuri ranjau bola sepak tempatan akan dikenang selamanya.

“Saya sebenarnya kehilangan sahabat. Sejak dari Johor, kemudian bersama MPPJ, dia pembantu jurulatih saya. Kita bersama MPPJ pada 2002 dan 2003 menang Piala Malaysia. Memang kami rapat. Ia kehilangan yang tidak dijangka.

“Saya tidak dapat berjumpa dia. Ada sekali saya ke hospital, dia dah keluar. Saya nak ke rumah, dia pergi berubat.

“Semalam saya di Kuantan dan selepas habis latihan, saya patah balik selepas dengar berita dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Dollah berkata, Malaysia kehilangan seorang legenda kerana Anuar dikenali sebagai ‘super-sub’ terbaik ketika zaman kegemilangannya dan sehingga kini masih diingati ramai.

Kesedihan sama turut dikongsikan Zainal Abidin Hassan yang menyifatkan pemergian Allahyarham Anuar, 48, sebagai kehilangan besar dalam keluarga bola sepak Malaysia.

Pernah menjulang trofi kejuaraan bersama-sama dalam pasukan Selangor, Zainal Abidin berkata, Anuar adalah pemain yang sangat berdedikasi ketika di padang dan tidak pernah berputus asa mencungkil bakat baharu untuk negara.

“Allahyarham (Anuar) seorang yang sangat prihatin dalam keluarga bola sepak. Dari dulu suka mengajar anak-anak dan mencungkil bakat baharu seperti mempunyai akademi (bola sepak) sendiri.

“Kita kehilangan seorang kawan dan legenda. Saya mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat di sisi Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam.

Jurulatih Melaka United itu berkata, kali terakhir beliau bertemu Anuar ketika majlis perkahwinan anak Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin beberapa bulan lalu.


Pengarang :