Ambank didenda gagal lapor transaksi meragukan dalam akaun Najib | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Ambank didenda gagal lapor transaksi meragukan dalam akaun Najib

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM), Ahmad Farhan Sharifuddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini Ambank didenda kerana gagal melaporkan aktiviti transaksi meragukan dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apabila disoal balas peguam Harvinderjit Singh, saksi pendakwaan keempat itu berkata, kesalahan yang dilakukan oleh bank itu kerana gagal melaporkan transaksi yang mencurigakan dalam akaun bekas perdana menteri, dari pembukaan hingga penutupan akaun.

Saksi itu memberi keterangan pada hari ke-15 perbicaraan Najib, yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.


Harvinderjit: Bolehkah anda memperincikan untuk transaksi apakah itu? Adakah sebelum atau selepas 2013?

Ahmad Farhan: Saya tidak dapat nyatakan secara terperinci tetapi ia bermula daripada pembukaan hingga penutupan akaun. Semua transaksi meliputi tempoh tersebut.

Sementara itu, apabila ditanya oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adakah Najib dimaklumkan sekiranya Ambank melaporkan transaksi meragukan dalam akaunnya, saksi itu berkata, di bawah peruntukan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa) tidak membenarkan amaran mengenai transaksi yang mencurigakan.

“Jadi Najib tidak akan dimaklumkan. Ia adalah seperti memberi maklumat,” katanya.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada anda bahawa jika AmBank melaporkan transaksi yang mencurigakan ini, anak guam saya akan berwaspada dan semua perkara ini dapat dielakkan.

Ahmad Farhan: Saya tidak tahu kerana saya hanya ditugaskan untuk menyiasat urus niaga yang meragukan itu.

Apabila ditanya mengenai telefon BlackBerry dan Samsung yang disita semasa serbuan dijalankan di AmBank, saksi itu berkata, beliau tidak mengetahui mengapa telefon itu disita pada masa itu, malah tidak mengetahui barangan itu telah dirampas.

“Ia tidak perlu untuk penyiasatan saya,” katanya sambil menambah bahawa beliau hanya menyerahkan telefon bersama laporan analisis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada bulan Ogos 2015, selepas Jabatan Forensik mengeluarkan data daripada telefon.

Muhammad Shafee: Adakah anda menyimpan diari penyiasatan semasa anda menjalankan siasatan? Saksi itu menjawab “ya, dalam sistem.”

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next