Ambil langkah berjaga-jaga sebelum raya | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Ambil langkah berjaga-jaga sebelum raya

BANGKOK, 25 MEI: Rakyat Malaysia yang akan bercuti ke Thailand semasa Aidilfitri dan cuti sekolah ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini

Duta Malaysia di Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, jumlah rakyat Malaysia yang datang ke negara ini terutama di selatan Thailand semasa musim percutian boleh meningkat secara ketara.

Beliau berkata, rakyat Malaysia terutama yang tinggal di utara Semenanjung seperti Perlis, Kelantan dan Kedah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan penduduk di selatan Thailand – Narathiwat, Yala dan Pattani dan mereka akan kunjung mengunjungi semasa musim perayaan itu nanti sebagai menjalinkan hubungan kekeluargaan.


“Mereka yang memandu dan menaiki kenderaan ke Thailand perlu mengambil lebih langkah berjaga-jaga. Pandulah dengan cermat: fikirkanlah mereka yang tersayang di kampung halaman.

“Semasa musim percutian, kami (kedutaan) menerima banyak kes kemalangan jalan raya. Kami berharap tidak ada kemalangan pada cuti Hari Raya ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Awal tahun ini, satu kempen keselamatan jalan raya diadakan bagi mengingatkan rakyat Malaysia yang bercuti di Thailand agar mengetahui undang-undang asas dan perkara yang dilarang semasa berada di negara ini.

Bagi mereka yang memandu atau menaiki kenderaan digalakkan membeli insurans dan mengisytiharkan kenderaan mereka semasa di pusat pemeriksaan masuk ke Thailand.

Selain itu, pelawat diharamkan merokok di pantai popular serta tidak membawa rokok atau vape dan walkie-talkie.

Jojie juga menggesa rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand supaya berhati-hati dengan barang berharga yang dibawa terutama pasport.

Mengikut laporan sebelum ini Thailand adalah antara negara yang mencatatkan jumlah terbesar rakyat Malaysia kehilangan pasport.

Semalam, Jojie dan isteri, Datin Catherina Cherian Samuel menganjurkan majlis berbuka puasa di Kedutaan Malaysia di Bangkok yang dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia di sana termasuk pelajar.

Jojie turut menyerahkan ‘duit raya’ kepada pelajar dari Sekolah Masjid Zaardatulislam, Narmai Patumtani Thailand.

“Kami berharap mereka akan mengetahui sekurang-kurangnya sedikit mengenai kebudayaan Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next