SELANGOR

Anak yatim teruja terima kunjungan Raja Muda Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 MEI: Kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAS), Melaka gembira apabila menerima kunjungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Korporat Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Muhammad Hafiz Bahari berkata, ada di antara kanak-kanak berkenaan tidak sabar berswafoto dengan baginda.

“Sememangnya RAYSAS dikunjungi saban tahun memandangkan ia adalah rumah anak yatim angkat kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj, iaitu datuk Raja Muda Selangor.

“Kali ini, baginda kembali bersama mereka dan sudah tentu ia perkara yang ditunggu-tunggu oleh anak yatim ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, sebanyak
RM16,200 diperuntukkan kepada rumah anak yatim berkenaan untuk sumbangan Aidilfitri, pada tahun ini.

Katanya, YIDE turut menjalinkan kerjasama dengan pasar raya Hari-Hari yang mengagihkan Kupon Hari Raya kepada kanak-kanak berjumlah RM6,000.

“YIDE komited menyampaikan sumbangan kepada RAYSAS dan ia memasuki tahun kelima,” katanya.

YIDE adalah organisasi penuh milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan anak-anak yatim di seluruh negeri.


Pengarang :