Anwar: Pembinaan Hard Rock Cafe, hotel diteruskan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Anwar: Pembinaan Hard Rock Cafe, hotel diteruskan

PORT DICKSON, 19 MEI: Projek pembinaan Hard Rock Cafe dan Hard Rock Hotel akan diteruskan dan pembinaannya dijangka akan bermula dalam tahun ini, kata Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, projek tersebut juga bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat termasuk dari segi peluang pekerjaan.

“Ia akan melalui proses dan perlu memenuhi syarat yang sama dengan projek hotel-hotel lain bagi memastikan kesejahteraan penduduk tempatan dipelihara. Hasil perbincangan dengan pihak pengusaha, mereka tidak menuntut syarat baharu dan bersetuju memenuhi setiap syarat ditetapkan.


“Sebelum ini penduduk setempat salah faham mengenai projek pembinaan Hard Rock Cafe dan hotel ini. Dengar sahaja nama Hard Rock Cafe dikatakan menjual arak secara limpah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan ziarah Mahabbah Ramadan di Hospital Port Dickson hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri dan tiada masalah berkenaan projek ini untuk dibangunkan.

“Saya sendiri meneliti permohonan projek tersebut dan syarat yang ditetapkan malah ia turut membantu peluang pekerjaan dan juga kebersihan kawasan, sekali gus memberi faedah kepada penduduk tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu pihaknya berpuas hati dengan tindakan awal yang dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menangani masalah bangunan terbengkalai.

Katanya, masalah tersebut telah dibawa ke mesyuarat negeri sejak lima ke enam bulan yang lalu dan menjadi keutamaan untuk diselesaikan.

Selepas program ziarah Mahabbah Ramadan, Anwar turut menziarahi beberapa rumah keluarga asnaf di Kampung Air Meleleh dan Taman Ria termasuk menziarahi seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlantar akibat lumpuh.

Anwar meluangkan masa kira-kira setengah jam menjenguk dan mendengar permasalahan yang dihadapi selain memberikan sumbangan duit dan hamper kepada mereka. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next