NASIONAL

Anwar sambut baik cadangan isytihar harta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 15 MEI: Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik cadangan mewajibkan menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Beliau berkata, cadangan memperluaskan kepada anggota parlimen pembangkang patut diterima memandangkan kerajaan harus bertanggungjawab dan bersikap lebih terbuka.

Katanya, hal berkenaan juga sering dibangkitkan pihak pembangkang sebelum ini.

“Kita patut memberi sokongan yang jelas bagi cadangan ini dan kita akan kemukakan di parlimen supaya petisyen mencadangkan satu peraturan lebih jelas dan memberi ruang kepada semua ahli parlimen mengisytihar harta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Belia Kebangsaan, di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan lima cadangan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR,) termasuk cadangan mewajibkan menteri dan timbalan menteri mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Langkah itu adalah salah satu perkara yang akan dinilai dalam indeks pencapaian (KPI) menteri dan timbalan menteri.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, menteri dan timbalan menteri ada pengisytiharan tetapi yang belum terpakai ahli parlimen.

“Walaupun saya isytihar tetapi dia bukan terpakai bagi ahli pembangkang sekarang. Sepatutnya kita perkenalkan baru tahu sebanyak mana masuk keluar wang,” katanya.

Sebelum ini, Presiden KEADILAN itu mengisytiharkan nilai keseluruhan aset miliknya sebanyak RM10.74 juta.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menghantar perisytiharan harta berkenaan kepada SPRM sebagaimana yang diminta kerajaan untuk semua anggota Kabinet dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN).

 


Pengarang :