GLOBAL

AS lanjut pengecualian sekatan projek nuklear sivil Iran

WASHINGTON, 4 MEI: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk melanjutkan pengecualian sekatan ke atas projek nuklear sivil Iran selama 90 hari, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jabatan itu.

“Kami membenarkan aktiviti pengawalan senjata berikut diteruskan, bagi tempoh 90 hari yang boleh diperbaharui, iaitu loji kuasa nuklear Bushehr, fasiliti Fordow, reaktor Arak dan Reaktor Penyelidikan Tehran,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan berasingan yang dikeluarkan jurucakap Jabatan Negara AS Morgan Ortagus “mulai 4 Mei, bantuan untuk memperluas Loji Kuasa Nuklear Bushehr Iran melangkaui unit reaktor sedia ada boleh dikenakan sekatan.”

“Dasar kami mengekalkan pengawasan ke atas program nuklear sivil Iran,” menurut kenyataan itu.

“Kami berhak membatalkan atau mengubah dasar kami yang meliputi kesemua aktiviti pengawalan senjata ini pada bila-bila masa jika Iran melanggar kewajipan atau komitmen nuklearnya atau kami merumuskan bahawa projek-projek sedemikian tidak lagi memberikan nilai dalam mengekang aktiviti nuklear Iran.”

Selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada Mei tahun lepas, pentadbiran Trump terus mengenakan tekanan ke atas Iran menerusi beberapa siri sekatan yang telah dibantah dan dikritik keras oleh Tehran.

Pada November, Washington telah mengenakan kembali sekatan ke atas sektor perbankan, tenaga dan perkapalan Iran sementara memberikan pengecualian selama 180 hari kepada lapan pembeli minyak utama Iran termasuk Korea Selatan, Jepun dan Turki.

Pada 22 April, Setiausaha Negara Mike Pompeo berkata sekatan AS itu akan dikenakan semula ke atas semua negara yang mengimport minyak dari Iran sejak 2 Mei.

langkah baharu Washington untuk memeras ugut Iran telah menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin membawa kepada peningkatan harga minyak dan gas.

-BERNAMA


Pengarang :