SELANGOR

Asnaf gembira terima sumbangan Aidilfitri

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Kebanyakan asnaf fakir dan miskin meluahkan kesyukuran apabila mereka menerima sumbangan Aidilfitri daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.

Salah seorang penerima, Noraspalela Jaafar, 41, berkata, sumbangan itu adalah kali pertama diterimanya dan gembira kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban menyambut Aidilfitri bakal tiba.

“Saya berasa gembira dan amat bersyukur di atas sumbangan ini sekali gus ia dapat meringankan perbelanjaan bagi menyambut ketibaan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Noraspalela adalah salah seorang daripada 468 asnaf fakir, miskin dan mualaf, di daerah Kuala Selangor yang menerima  sumbangan bantuan Aidilfitri berjumlah RM234,000 yang disampaikan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sumbangan itu disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa Ihya Ramadan Bersama Rakyat Di Masjid An Naim Sungai Sembilang, di sini, hari ini.

Turut berangkat mengiringi baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut mengiringi baginda adalah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ir Izham Hashim serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Sementara itu, bagi Hapidah Aripin berkata, sumbangan itu amat bermakna buat dirinya yang masih mempunyai tangungan anak seramai enam orang.

“Setidak-tidaknya melalui sumbangan ini saya boleh menggembirakan anak-anak dengan membelikan mereka pakaian baru untuk menyambut perayaan nanti,” katanya yang sudah kali ketiga menerima sumbangan terbabit.

Manakala, Sulaiman Busu, 51, berkata, beliau terharu dengan pemberian sumbangan itu sekali gus memuji keprihatinan DYMM Sultan yang sentiasa prihatin kepada rakyatnya.

“Terima kasih DYMM Sultan kerana dari tahun ke tahun sentiasa prihatinkan rakyat Selangor dan sering membantu golongan seperti kami,” katanya.

 


Pengarang :