SELANGOR

Asnaf Selat Klang gembira terima sumbangan ADN

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 MEI: Perasaan gembira jelas terpancar pada wajah 100 asnaf Dewan Undang Negeri (DUN) Selat Klang yang menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri bagi Fasa 1.

Ibu tunggal, Haida Diana Hairullah, 38, berkata, beliau amat bersyukur dengan bantuan yang diterimanya kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban dalam menyediakan persiapan Aidilfitri untuk kedua-dua anaknya.

“Syukur dipilih menerima sumbangan ini. Saya bukan orang senang, jadi dengan sumbangan ini dapat membantu keluarga saya,” katanya yang berkhidmat sebagai Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak 15 tahun lalu.

Haida adalah salah seorang daripada 100 asnaf DUN Selat Klang yang layak menerima bantuan tunai Hari Raya Aidilfitri Fasa 1.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dato’ Abdul Rashid Asari menyampaikan bantuan berkenaan dalam majlis berbuka puasa bersama asnaf di Masjid Darul Muttaqin, Sungai Udang, di sini.

Seorang lagi penerima, Abdul Karim Umar, 50, kerjanya yang tidak tetap membuatkannya sukar menyediakan persiapan Aidilfitri untuk tiga orang anaknya.

Beliau sebelum ini bekerja sebagai pemotong rumput, namun kini tidak melakukannya lagi ekoran kedua-dua matanya kabur.

“Kedua-dua mata sudah tidak lagi nampak sebab ada masalah dengan selaput mata, sekarang hanya bekerja mengemas rumah. Itu pun jika orang panggil.

“Isteri pula Suri Rumah, kadang-kadang menjual kuih jika ada permintaan. Pendapatan kami tidak menentu, kadang banyak kadang sedikit,” katanya yang turut menerima bantuan dari Lembaga Zakat Selangor.

 


Pengarang :