SELANGOR

Asnaf wajib zakat jika syarat mencukupi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 8 MEI: Golongan asnaf wajib mengeluarkan zakat fitrah sekiranya cukup syarat yang ditetapkan, kata Pengurus Perundingan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Ustaz Hamizul Abdul Hamid.

Katanya, ia kerana terdapat tiga syarat zakat fitrah iaitu pertamanya Islam, kedua, orang itu dapat hidup pada dua bulan iaitu Ramadan dan Syawal walaupun sekejap.

“Ketiga, hendaklah orang itu mempunyai makanan mencukupi bagi diri dan keluarganya bermula pada malam dan pagi hari raya.

“Jika orang miskin, biasanya menjelang sebelum Aidilfitri, LZS beri bantuan dan disebabkan itu mereka mempunyai kecukupan makanan, maka wajiblah mereka mengeluarkan zakat fitrah walaupun berstatus asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui segmen ‘Breakfast Rohani’ di laman facebook rasmi LZS, hari ini.

Terdahulu, LZS mengumumkan kadar zakat fitrah bagi Selangor kekal RM7 seorang tahun ini.

Kadar itu ditetapkan berdasarkan harga beras semasa bagi beras Super Tempatan Gred A.

Bagi golongan berkemampuan, mereka boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri sendiri dan tanggungan.

Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini, seramai 2,754 penolong amil fitrah telah dilantik di seluruh negeri berkenaan.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 cawangan LZS yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat mengambil kesempatan menunaikan kewajipan berkenaan.

Waktu urusan cawangan LZS pada hari bekerja bermula dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia akan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Di samping itu, bayaran zakat fitrah juga boleh ditunaikan di beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang serta melalui 14 penolong amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 penolong amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor.

 


Pengarang :