KUALA LUMPUR, 4 Mei — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (depan enam, kanan) bergambar bersama penduduk pangsapuri Taman Keramat Permai pada Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Bencana dan Penutupan Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar (depan enam, kanan) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Datuk Abdul Hamid Hussain (depan lima, kanan). Seramai 37 keluarga melibatkan lebih 200 orang yang ditempatkan di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini. — fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMASELANGOR

Azmin: Segera baik pulih pangsapuri retak

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kerja membaik pulih Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang retak perlu dipercepatkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, pada Jun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihak terbabit haruslah menjamin keselamatan penduduk, di samping memastikan kualiti kerja pembaikan tidak terjejas.

“Kerja sudah bermula dan saya nyatakan tadi bahawa kita minta pihak terbabit untuk menyegerakan pembaikan ini sebelum hari raya akan datang.

“Tetapi jangan berkompromi soal kualiti kerja dan keselamatan penduduk yang menduduki bangunan serta ini sudah diberikan jaminan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor bahawa kerja ini akan menjamin keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihsan dan Penutupan Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, di sini hari ini.

Bangunan Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang dilaporkan retak dan penghuninya yang dipindahkan sejak 26 April lalu, kini boleh pulang ke rumah masing-masing setelah struktur bangunan mereka disahkan selamat menerusi hasil kajian dan siasatan sehingga 2 Mei lalu.

Sementara itu, seorang penghuni Mohd Faysal Surifno Yusof, 45, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat pulang semula ke kediamannya itu bagi menyambut Ramadan.

“Terima kasih kepada pihak yang membantu kami selama ini. Ada rasa risau juga jika tidak sempat menyambut Ramadan di rumah, tetapi kita terpaksa sesuaikan diri dan saya reda dengan segala ketentuan serta ikut sahaja apa dimaklumkan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, dua lagi penghuni, Hazlin Hayati Ahmad, 46, dan Zahari Abdul Rahman, 45, berharap supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

Mereka juga bersetuju dan menyambut baik cadangan jika kerajaan mahu melaksanakan pembangunan semula bangunan berkenaan setelah mengambil kira usia struktur bangunan itu yang menjangkau kira-kira 30 tahun.

-BERNAMA


Pengarang :