BERITA UTAMASELANGOR

Azmin umum RM500,000 baik pulih kemudahan SAM Paya Jaras

OLEH NADIAH ZAMLUS

PAYA JARAS, 4 MEI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi kerja menaik taraf kemudahan di Sekolah Agama Menengah (SAM) Paya Jaras, di sini.

Katanya, peruntukan itu bagi membaik pulih surau, dewan dan bumbung sekolah seperti yang dipohon kepada pihaknya, sebelum ini.

“Hasil daripada turun padang kakitangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ke sekolah ini mendapati sememangnya projek bagi baik pulih wajib dilaksanakan.

“Walaupun negara mungkin berdepan masalah kewangan, namun peruntukan untuk pembangunan sekolah tetap ada bagi memberi mereka kemudahan yang kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Prasarana dan Sumbangan Kemasyarakatan, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Dato’ Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

Sementara itu, Ahmad Ruzman berkata, pihak sekolah memerlukan surau yang lebih besar bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah, saban tahun.

Katanya, pelajar terpaksa menunaikan solat secara bergilir ekoran surau sedia ada sekarang terlalu kecil.

“Malah, pada waktu solat berjemaah, ada pelajar yang terpaksa bersolat sehingga terkena hujan serta panas.

“Disebabkan itu kami amat memerlukan kemudahan surau serta lain-lain bagi menampung pelajar serta memberi mereka lebih keselesaan,” katanya.

SAM Paya Jaras mula ditubuhkan pada 1985 oleh Jawatankuasa Kecil Kampung Kubu Gajah, Merbau Sempak, Paya Jaras dan Sungai Pelong.

 


Pengarang :