NASIONAL

Banjir di Pulau Pinang pulih

TASEK GELUGOR, 11 MEI: Pusat pemindahan banjir yang menempatkan 35 mangsa banjir di Surau Kampung Tok Sani, Butterworth dekat sini di tutup sepenuhnya pagi ini selepas banjir di kawasan berkenaan surut.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, semua mangsa dari tujuh keluarga yang di tempatkan di pusat pemindahan itu sejak Khamis telah di benarkan pulang selepas air banjir telah surut.

“Mereka mula pulang ke rumah masing-masing pagi ini selepas pemeriksaan di jalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) mendapati banjir di kawasan rumah mangsa telah surut dan selamat untuk penduduk pulang ke kediaman,” katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Katanya manakala seramai 74 mangsa banjir dari 13 buah keluarga masih lagi berada di satu lagi pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Muhibbah Merbau Kudung, di sini sejak tiga hari lepas.

Beliau berkata mangsa yang masih berada di pusat pemindahan itu terdiri daripada 24 lelaki, 18 wanita, 15 kanak-kanak lelaki, 14 kanak-kanak perempuan serta tiga orang bayi.

Beliau berkata, namun jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan banjir Dewan Muhibbah Merbau Kudung itu semakin berkurang kerana 11 mangsa dari dua keluarga telah di benarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir di rumah mereka telah surut.

“Kami harap cuaca hari ini baik kemungkinan semua mangsa banjir boleh balik ke rumah masing-masing, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan APM sedang membuat pemantauan lanjut,” katanya.

Sementara itu seorang mangsa banjir di Kampung Tok Sani Nora Azmizah Kassim,40, berkata beliau sekeluarga bersyukur kerana banjir di rumah telah surut sepenuhnya pagi ini dan mereka dapat pulang ke rumah.

Ibu kepada empat anak itu berkata kejadian banjir itu merupakan kali ke tiga sejak tahun 2017 namun ini pertama kali berlaku pada bulan Ramadan dan terpaksa berbuka serta bersahur di pusat pemindahan banjir.

“Alhamdulilah banjir telah surut dan saya sekeluarga serta penduduk lain mencuci rumah hari ini kerana banyak lumpur dan kekotoran lain, ada juga beberapa barangan elektrik rosak akibat banjir kali ini,” katanya.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :