NASIONAL

Banyak perlu dilakukan untuk perangi maklumat salah, mengelirukan

KUALA LUMPUR, 28 Mei: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo memuji inisiatif-inisiatif yang mendokong usaha kementeriannya menangani isu maklumat yang salah dan mengelirukan tetapi beliau berasa banyak lagi perlu dilakukan dalam bidang ini.

“Usaha-usaha ini beragam, dari sumber yang direka untuk membantu manusia berfikir secara kritikal dan berkongsi tanggungjawab, di samping membantu mereka memahami dengan lebih mendalam dan mengawal dengan muah apa yang dilihat dalam media sosial, sehinggalah bekerjasama dengan pihak ketiga untuk menyemak fakta-fakta untuk mengatasi maklumat yang salah,” kata beliau.

Beliau berkata kerajaan sedar bahawa para pembekal media sosial telah melakukan banyak perkara mengenai ‘user-generated content (UGC)’ untuk memerangi pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

“Cabarannya kini ialah bagaimana hendak menangani kepelbagaian UGC yang akan turut merangkumi konteks setempat bagi setiap negara yang mempunyai bidang-bidang yang menjadi kebimbangannya tersendiri,” kata beliau pada pembukaan pejabat Facebook Malaysia yang baharu di Q Sentral di sini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan pembukaannya.

Gobind berkata walaupun wujud kesedaran untuk segera menangani ucapan kebencian, terdapat juga pelbagai bentuk ekspresi lain yang juga mungkin boleh memberi ancaman kepada kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara.

“Pengaliran maklumat yang mudah boleh menjadi satu perkara baik tetapi ia juga boleh disalahgunakan,” kata beliau.

Beliau berkata adalah sesuatu yang amat terpuji sekiranya maklumat digunakan untuk menyambungkan rakyat dan masyarakat untuk kebaikan lebih besar tetapi, malangnya ia juga boleh digunakan untuk menghasut dan menimbulkan kebencian, keganasan dan penyebaran berita palsu dan berita mengelirukan.

“Kementerian saya memainkan peranan utama dalam memastikan setiap orang boleh menggunakan platform media sosial dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab, tetapi ia tidak semudah diucapkan,” kata beliau.

Gobind berkata kementerian juga amat berharap dapat bekerjasama rapat dengan Facebook, terutama dalam bidang ‘Community Standards Enforcement’.

Beliau berkata beliau berharap Facebook akan terus meneroka peluang-peluang untuk bekerjasama dengan perniagaan dan masyarakat tempatan bagi mewujudkan dunia yang lebih tersambung.

Beliau berkata kehadiran Facebook di Malaysia dan komitmen yang telah dipertingkatkan dibuktikan dengan perluasan pejabat baharunya di sini, yang merupakan langkah penting ke arah membantu meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan menyambungkan mereka dengan bahagian lain dunia menerusi pendidikan, wawasan dan perkakasan untuk berjaya. -BERNAMA

 


Pengarang :