NASIONAL

Bapa alami masalah mental pukul bayi hingga mati

 

KANGAR, 29 Mei: Seorang bapa disyaki memukul bayinya berusia enam bulan sehingga mati di kediamannya di Kampung Baroh, Santan di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata suspek yang berusia 44 tahun itu bertindak memukul bayi perempuan tersebut selepas berlaku pertengkaran kerana diminta isterinya untuk makan ubat sakit mental.

Susulan kejadian itu, ibu bayi berkenaan bertindak membawa bayi itu dan tiga lagi anaknya masing-masing berumur 2 hingga 7 tahun lari mendapatkan bantuan daripada seorang rakan suspek di Arau pada Isnin kira-kira pukul 11 malam kerana bimbang keselamatan mereka.

“Bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik pada 4 pagi semalam namun tidak bernafas kira-kira 9.30 pagi hari sama. Pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang dihubungi tiba dilokasi kejadian memaklumkan bayi berkenaan telah meninggal dunia pada 3.24 petang,” kata Noor Mushar.

Susulan itu, pengadu telah membuat laporan polis berhubung kematian bayi berkenaan semalam.

Menurut Noor Mushar pemeriksaan awal ke atas bayi itu tidak menemukan sebarang kecederaan namun bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar hari ini bagi mengenal pasti punca kematian bayi berkenaan.

Katanya tiada laporan dibuat isteri berkaitan keganasan rumah tangga dan suspek juga pernah beberapa kali mendapatkan rawatan sakit mental di HTF sebelum ini.

“Suspek dan isterinya yang berasal dari Thailand berkahwin pada 2011. Isteri tidak mempunyai dokumen pernikahan dan bayi terbabit yang lahir di sana (Thailand) juga tidak mempunyai dokumen sah,” katanya.

Noor Mushar menambah bayi berkenaan tidak dibawa ke HTF kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.

Suspek ditahan di kediamannya semalam kira-kira 4 petang dan direman bermula hari ini hingga 4 Jun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

 


Pengarang :