NASIONAL

Bapa disyaki dera anak ditangkap

KUALA KANGSAR, 17 Mei: Seorang penggangur ditahan selepas disyaki mendera dua anaknya dalam satu kejadian di Taman Sri Emas di sini malam tadi.

Mangsa masing-masing berusia lima dan 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek berusia 36 tahun ditberkas selepas menerima laporan daripada isterinya pada pukul 8.20 malam.

Menurut Razali, wanita berusia 34 tahun tersebut dalam laporannya memberitahu pada kira-kira pukul 6 petang semalam, suspek telah mengamuk dan memarahi anak mereka dengan menarik rambut anak perempuan yang berumur 13 tahun.

Katanya semasa si isteri cuba menghalang, dia telah ditampar pipi kanan sambil rambutnya turut direntap dan kepala dihentak di kerusi selain tangan kiri dipulas ke belakang.

“Anak pasangan itu lari masuk ke bilik dan suaminya telah membaling pakaian ke muka anaknya. Suspek juga menumbuk perut isterinya, menghentak kepalanya di dinding dan mencekiknya sehingga sukar bernafas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razali berkata kejadian itu menyebabkan isteri suspek yang merupakan pembantu perawatan Hospital Kuala Kangsar cedera, manakala anak-anak pasangan tersebut mengalami trauma dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan 323/326A Kanun Keseksaan.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek sering memukul isterinya dan pasangan tersebut sedang dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar. – BERNAMA


Pengarang :