SELANGOR

Batal lesen premis kotor mulai 1 Jun

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 30 MEI: Mulai 1 Jun, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengguna pakai prosedur baharu bagi kebenaran membuka semula perniagaan selepas tindakan penutupan ke atas premis makanan kotor di bawah UUK 62 Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBPJ) 2007.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, prosedur baharu itu termasuk pengeluaran surat tunjuk sebab kepada premis yang ditutup sebanyak tiga kali.

Malah, katanya, jika pengusaha premis ingkar serta gagal memberikan maklum balas surat tunjuk sebab atau rayuannya ditolak MBPJ, tindakan pembatalan lesen perniagaan ke atas premis makanan itu akan diambil.

“Premis yang diarahkan tutup untuk kali ke tiga pula, tempoh minimum penutupan yang dicadangkan ialah 14 hari sebelum pemeriksaan semula dilakukan.

“Kebenaran membuka semula bagi kes penutupan kali ketiga, pengusaha premis perlu mematuhi syarat notis dan Jabatan Pelesenan akan memberi cadangan mengeluarkan ‘Surat Tunjuk-sebab Mengapa Lesen Tidak Boleh Dibatalkan’ kepada pengusaha premis berkenaan.

“Jika pengusaha premis ingkar serta gagal memberikan maklum balas surat tunjuk sebab atau rayuannya ditolak oleh MBPJ, maka tindakan pembatalan lesen perniagaan ke atas premis makanan itu akan diambil,” katanya pada mesyuarat penuh MBPJ, di sini.

Mohd Sayuthi berkata, tindakan berkenaan diambil bagi mengelakkan presepsi kurang baik ke atas MBPJ dan kakitangan yang bertugas apabila pengusaha premis makanan tidak menitikberatkan isu kebersihan dan kesihatan selepas tindakan pembukaan semula premis.

“Tindakan pembukaan semula premis ini terutama yang membabitkan tempoh singkat iaitu dua hingga tiga hari selepas penutupan sering menimbulkan persepsi kurang baik.

“Justeru, satu kertas kerja dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan Dan Kesihatan pada 14 Mei lalu yang memutuskan untuk mengguna pakai prosedur baharu ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi penutupan premis kali pertama, pengusaha boleh memohon secara bertulis kepada pegawai yang diberi kuasa untuk tindakan pembukaan.

Manakala, tempoh penutupan minimum tujuh hari sebelum pemeriksaan semula dilakukan oleh pegawai diberi kuasa bagi premis yang diarahkan tutup kali kedua.


Pengarang :