NASIONAL

Bayi empat bulan dipercayai lemas dalam keadaan tertiarap

KUALA TERENGGANU, 20 Mei: Ibu bapa kepada bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas di sebuah taska di sini tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya menerima dengan redha.

Syahirah Mohd Ali, 31, ibu kepada Dayangku Nuralya Maryam Awangku Hazrin, berkata anak bongsu daripada dua beradik itu dipercayai lemas ketika meniarap.

Dalam kejadian tragis itu, Dayangku Nuralya Mariam ditemui oleh petugas taska dalam keadaan tertiarap, badan kebiruan serta tidak sedarkan diri pada kira-kira pukul 10 pagi tadi sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dirawat di HSNZ kira-kira 11.30 pagi.

Menurut Syahirah, sebaik dimaklumkan oleh pihak taska beliau terus bergegas ke pusat jagaan itu dan mendapati bayinya berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

“Saya difahamkan petugas yang menjaganya meninggalkannya seketika ketika sedang tidur.

“Mungkin ketika itu dia cuba meniarap tanpa disedari. Saya dan suami, tidak salahkan sesiapa dan menganggap apa yang berlaku adalah takdir Illahi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, malam ini.

Sementara itu, bapa kepada bayi berkenaan, Awangku Hazrin Awangku Hidup, 34, berkata walaupun ia ujian berat, namun mereka sekeluarga redha apatah lagi ia berlaku pada hari ulang tahun kelahirannya.

Selain arwah, pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak perempuan Dayangku Nur Hawa Marisa yang berusia dua tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. -BERNAMA

 


Pengarang :