SELANGOR

Bazar Ramadan di Ampang Jaya meriah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Penduduk Ampang Jaya berpeluang menikmati pelbagai hidangan juadah berbuka puasa apabila 22 tapak bazar disediakan di kawasan itu sepanjang Ramadan ini.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, bazar Ramadan terbesar adalah di Taman Melawati dengan 240 lot peniaga, diikuti Padang Perbandaran MPAJ dengan 186 lot.

“MPAJ menyediakan 1,420 lot bagi tujuan itu dengan 1,358 lot sudah diambil. Setakat ini, bazar paling kecil berada di Lembah Maju, dengan hanya empat lot bazar diisi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa supaya peniaga patuh kepada larangan penggunaan beg plastik dan polistirena.

Katanya, tindakan akan diambil jika ada di antara peniaga yang didapati menggunakan bahan larangan terbabit.

“Peraturan lain juga diperluaskan termasuk kebersihan gerai, kebersihan makanan dan menggunakan pekerja asing.

“Sejak 2017, MPAJ menggunakan kaedah pengundian untuk lebih adil kepada semua pemohon tapak bazar Ramadan bagi tidak menimbulkan masalah,” katanya.


Pengarang :