BERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di Klang pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 14 MEI: Bekalan air pulih sepenuhnya di semua kawasan di Klang yang terbabit gangguan bekalan air berjadual ekoran tiga paip utama pecah berhampiran projek Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya memohon mohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan dengan gangguan dan tidak dapat menepati sasaran awal jadual kerja pembaikan dan tempoh pemulihan bekalan yang disasarkan.

“Ini adalah disebabkan kerumitan perlaksanaan kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dengan keadaan tapak pembaikan yang berisiko tinggi bagi mengelakkan perkara yang tidak di ingini kepada pekerja dan aset aset di tapak.

“Sepanjang kerja-kerja pembaikan awal yang dilaksanakan, telah juga berlaku pergerakkan tanah dan kebocoran di lokasi lain di jajaran paip yang sama.

“Situasi ini telah menyebabkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air yang disasarkan tertunda beberapa kali.

“Sehubungan itu, bagi mengurangkan impak gangguan kepada pelangan yang terjejas pihaknya mengambil tindakan segera bagi memulihkan bekalan melalui sistem bekalan alternatif dan melaksanakan kerja-kerja pemasangan dan pengalihan jajaran paip baharu 1,400mm yang telah pun siap pada jam 3.00 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, pemasangan jajaran paip baharu adalah penyelesaian kekal bagi penyaluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan dari Kolam Lipat Kajang dan telah dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat dan pemulihan sepenuhnya ke semua kawasan yang terjejas.

Dalam kenyataan sama, Air Selangor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga kerja dan kontraktor lantikannya yang bekerja 24 jam sehari tanpa henti sejak bermulanya insiden paip-paip utama ini pecah.

“Penghargaan juga kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang telah memberikan kerjasama serta panduan kepada kami.

“Tidak ketinggalan, sokongan yang diberikan Kerajaan Negeri Selangor, wakil-wakil rakyat, persatuan penduduk dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan kerjasama amatlah dihargai,” katanya.


Pengarang :