SELANGOR

Bekalan air dijangka pulih Ahad ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MEI: Penduduk yang mengalami gangguan bekalan air ekoran kejadian paip utama pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, akan menerima air sepenuhnya mulai 12 Mei ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, ia ekoran terjadinya insiden pergerakan tanah beberapa kali sepanjang tempoh kerja pembaikan, sekali gus menyumbang kepada kelewatan kerja.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pemulihan keseluruhan pada 3 petang ini, namun tidak dapat dilakukan ekoran penggunaan dan penyimpanan bekalan oleh pengguna yang sudah pulih.

“Berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan pada sistem agihan pada pagi ini, 69 peratus iaitu kira-kira 44 kawasan daripada jumlah keseluruhan 65 kawasan terjejas kembali pulih.

“Bagaimanapun, pihak kami sedang berusaha untuk memulihkan baki 31 peratus kawasan selewat-lewatnya pada Ahad ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi antaranya Lembaga Lebuhraya Malaysia mengambil tindakan jangka masa panjang melaksanakan jajaran baharu berkapastii 1,400 milimeter (mm) dan 900 mm bagi melencongkannya daripada keududukan asal.

Abdul Raof berkata, pihaknya juga akan terus menggerakkan bantuan lori tangki dengan memfokuskan kepada kawasan yang masih belum pulih selain meneruskan pengoperasian ke empat Pusat Khidmat Setempat (PKS).

Katanya, antara lokasi terbabit adalah PKS Bandar Sultan Suleiman (Masjid As-Saadah, Lingkaran Sultan Abd Samad 2); PKS Bandar Parkland (Taman Rekreasi, Jalan Delima 8); PKS Taman Sri Andalas (Tapak Parkir Taman Rakyat, Jalan Tun Dr. Ismail) dan PKS Batu Belah (sebelah Aeon Big, Jalan Kapar).

Terdahulu, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.


Pengarang :