LANGKAWI, 13 Mei — Zaitun Jaafar,22, menunjukkan belangkas bakar yang dijual di gerainya di Bazar Ramadan Kampung Padang Wahid, Kedawang di sini. Zaiton berkata, gerainya menawarkan sajian belangkas yang dibakar, rebus, masak sambal, lemak cili padi dan kerabu dan menjadi tumpuan ramai di Bazar Ramadan terbabit. ?Selain pelanggan yang datang sendiri ke gerainya itu, ada juga yang membuat tempahan awal melalui telefon dan Whatapps, sebelum mengambilnya di bazar tersebut.?”Harga belangkas mengikut jenis sajian. Untuk bakar dan rebus RM35 manakala masak sambal, masak lemak cili padi, dan kerabu dijual pada harga RM40 seekor,”katanya.?– fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
NASIONAL

Belangkas bakar dapat sambutan di bazar Ramadan

LANGKAWI, 13 MEI: Sebuah gerai yang menawarkan sajian belangkas dibakar, rebus, masak sambal, lemak cili padi dan kerabu menjadi tumpuan ramai di Bazar Ramadan Padang Wahid, Kedawang dekat sini.

Penjualnya, Zaitun Jaafar, 22, berkata, selain pelanggan yang datang sendiri ke gerainya itu, ada juga yang membuat tempahan awal melalui telefon dan Whatapps, sebelum mengambilnya di bazar tersebut.

“Harga belangkas mengikut jenis sajian. Untuk bakar dan rebus RM35 manakala masak sambal, masak lemak cili padi, dan kerabu dijual pada harga RM40 seekor.

“Secara purata sehari saya boleh jual 50 ekor belangkas, paling mendapat sambutan ialah belangkas bakar yang sedap dicecah air asam,” katanya kepada Bernama di sini.

Zaitun berkata, beliau amat bersyukur dengan rezeki yang diterima, kerana ini merupakan cubaan pertamanya untuk menjual belangkas di Bazar Ramadan.

“Resipi sajian belangkas ini saya buat sendiri, dan berjaya menawan selera pelanggan. Di Langkawi memang ramai penggemar belangkas, permintaan sentiasa ada, tidak kira waktu.

“Sebelum ini saya cuma masak di rumah, kemudian buat penghantaran ikut pesanan pelanggan. Tahun ini saya beranikan diri untuk ambil tapak di bazar Ramadan dan jual, Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat baik,” katanya yang tinggal di Kampung Gelam.

Ketika ditanya mengenai bekalan belangkas untuk jualan, menurut Zaitun stok diperolehi dari Johor dan Selangor untuk menampung permintaan dengan mengambil 100 ke 500 ekor setiap kali pesanan.

-BERNAMA


Pengarang :