SELANGOR

Beli tiket bas secara online, kekang isu ulat tiket

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 MEI: Bagi mengekang isu ulat tiket di Terminal Bas Seksyen 17, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan sistem pembelian tiket bas dalam talian.

Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan berkata, penumpang yang mahu menaiki bas perlu menukar tiket yang dibeli atas talian itu di kaunter terminal berkenaan.

“Penumpang bas akan dicaj sebanyak RM1 bagi mencetak tiket itu. Hanya pemegang tiket saja yang boleh masuk selepas mereka mengimbas kod bar tiket.

“Kita percaya hanya dengan langkah ini saja isu ulat tiket di terminal bas ini akan dapat diatasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis MBSA di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Pada masa sama, katanya, MBSA akan membina parkir bertingkat yang mampu memuatkan 300 kenderaan pada hujung tahun ini.

“Kita akui tempat parkir tidak mencukupi terutamanya ketika musim perayaan. Buat masa ini kita menggunakan anggota RELA dan penguatkuasa MBSA untuk mengawal aliran trafik.

“Selain itu, MBSA sudah menyediakan tempat khas berhampiran terminal yang boleh menempatkan 11 bas dalam satu-satu masa,” katanya.

Selain itu, Mohd Rashid berkata, MBSA sedang mengumpul maklum balas orang awam yang menggunakan kemudahan di terminal berkenaan.

“MBSA merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menguruskan operasi terminal bas di negara ini.

“Oleh itu, MBSA bertanggungjawab sediakan kemudahan terbaik kepada pengguna,” katanya.


Pengarang :